Powered By Blogger

Sunday, December 9, 2012

UMAR AL KHATTAB DAN PALESTINE

Sumbangan Umar Al-Khattab Dalam Pembukaan Baitulmaqdis. “ Anda sekalian pasti akan menyerang Jazirah Arab (Semenanjung Arab ) lalu Allah pun akan menaklukkannya untuk anda sekalian. Kemudian anda menaklukkanya untuk anda sekalian akan menyerang Parsi, lalu Allah pun akan menaklukkannya untuk anda sekalian. Setelah itu anda sekalian akan menentang orang-orang Romawi, lalu Allah akan menaklukkannya untuk anda juga. Akhirnya anda akan menentang dajjal , lalu Allah akan menaklukkannya untuk anda sekalian,” (Dari Jabir bin Samurah bersumberkan dari Nafi’ bin Utbah r.a, dan dipetik oleh Sahih Muslim). Daripada hadis ini menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W telah mengetahui bahawa umat Islam pasti akan menakluki kota-kota yang dikuasai kuasa besar seperti Rom dan Parsi. Khalifah Umar telah menyumbangkan sesuatu kepada dunia Islam. Pada zaman pemerintahan beliau sebagai khalifah, beliau mempunyai rekod yang cemerlang dalam menakluki beberapa kota penting seperti Busra, Ajnadayn, Damsyik, Hims dan Qansrin. (Husseiny 2012) Mahmoud Mataz Kazmouz di dalam tulisannya Islamicjerusalem as a Model for Multiculturalism: Prelimenary Study pula membincangkan tentang sumbangan Umar Al-Khattab dalam mewujudkan keharmonian kaum-kaum yang ada di Baitulmaqdis. Beliau amat menitikberatkan tentang keamanan dan kesejahteraan penduduk yang berbilang kaun dan agama kerana jika tersilap langkah pasti berlaku pertelingkahan di antara mereka. Sementara Abd Al-Fattah El-Awaisi dalam tulisannya yang bertajuk Introducing Islamicjerusalem menyatakan bahawa Islamic Jerusalem sebagai model adalah berdasarkan kejayaan Umar Al-Khattab memberi ruang yang selesa kepada penganut agama lain untuk terus berada di Baitulmaqdis. Tulisannya juga menyentuh secara tidak langsung mengenai hubungan antara kaum yang berlaku di Jerusalem tetapi untuk tempoh yang terhad iaitu pada zaman pemerintahan Umar Al-Khattab. 3.0 Isi Kandungan Jaminan Keamanan Umar Semasa pembukaan kota Baitulmaqdis oleh Khalifah Umar Al-Khattab, beliau telah mengemukakan satu dokumen yang berbentuk jaminan. Dokumen jaminan ini adalah untuk menjamin keselamatan penduduk Islam dan bukan Islam di bawah pemerintahan Kerajaan Islam yang dipimpin oleh beliau sendiri. Dokumen ini juga disebut sebagai al-Uhda al-Umariyyah atau Umar Assurance of Safety to the people of Aelia atau Jaminan Keselamatan Umar Kepada Penduduk Aelia. Jaminan ini juga ditulis dalam banyak versi dan versi teks yang dikemukakan oleh Al-Tabari dianggap versi yang paling jelas (Mohd Roslan, 2011a). Antara isi kandungan jaminan tersebut adalah seperti berikut: بسم لله الرحمن الرحيم هذا ما أعطى عبد لله عمر أمير المؤمنين أهل ايلياء من الأمان ، أعطاهم أمانا لأنفسهم وأموالهم ولكنائسهم وصلبانهم سقيمها وبريئها وسائر ملتها ، أنه لا تسكن كنائسهم ولا تهدم ولا ينتقص منها ولا من حيزها ، ولا من صلبهم ، ولا من شئ من أموالهم ولا يكرهون على دينهم، ولا يضار أحد منهم ،ولا يسكن بايلياء معهم أحد من اليهود. وعلى أهل ايلياء أن يعطوا الجزية كما يعطى أهل المدائن ، وعليهم أن يخرجوا منها الروم واللصوص . فمن خرج منهم فإنه آمن على نفسه وماله حتى يبلغوا مأمنهم . ومن أقام منهم فهو آمن وعليه مثل ما على أهل ايلياء من الجزية ، ومن احب من أهل ايلياء أن يسير بنفسه وماله مع الروم ويخلى بيعهم وصلبهم ، فانهم آمنون على أنفسهم حتى يبلغوا مأمنهم ، ومن كان بها من أهل الأرض فمن شاء منهم قعد وعليه مثل ما على أهل ايلياء من الجزية ومن شاء سار مع الروم ومن شاء رجع إلى أهله ، لايؤخذ منهم شيء حتى يحصد حصادهم ، وعلى ما في هذا الكتاب عهد لله وذمة رسوله وذمة الخلفاء وذمة المؤمنين إذا أعطوا الذي عليهم من الجزية. عمر بن الخطاب كتب وحضر سنة 15 ه شهد على ذلك: خالد بن الوليد، عمرو بن العص، عبد الرحمن بن عوف و معاوية بن أبي سفيان Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang . Ini adalah jaminan keamanan Aman yang dikurniakan oleh hamba Allah (Khalifah kedua) Umar (Ibn al-Khattab), Komander yang setia, kepada penduduk Aelia. Beliau telah mengurniakan mereka satu jaminan keamanan untuk kehidupan dan harta benda mereka, gereja-gereja dan salib-salib mereka; yang sakit dan sihat (kepada semua orang tanpa pengecualian); dan untuk seluruh komuniti agamanya. Gereja-gereja mereka tidak akan didiami (diambil alih) atau dimusnahkan oleh kaum Muslimin. Diri-diri mereka, tanah yang mereka diami, salib dan harta benda mereka tidak akan diceroboh atau dirampas. Penduduk tidak akan dipaksa (yukrahūna) dalam beragama, atau dianiaya. Tiada Yahudi dibenarkan mendiami Aelia bersama mereka. Penduduk Aelia perlu membayar jizyah sebagaimana penduduk daerah/ bandar lain (Ahl al-Mada’in). Mereka perlu mengusir orang-orang Rom Timur dan perompak. Bagi mereka (kumpulan Rom Timur yang pertama) yang perlu meninggalkan (Aelia), nyawa dan harta benda mereka akan dilindungi dari bahaya sehingga mereka tiba di tempat yang aman, dan bagi mereka (kumpulan Rom Timur kedua) yang (memilih untuk) tinggal, mereka akan selamat. Mereka perlu membayar jizyah sebagaimana penduduk Aelia. Penduduk Aelia yang mahu pergi bersama orang-orang Rom Timur,bersama harta benda mereka, dan mahu mengosongkan gereja mereka dan salib mereka, mereka dan semua itu akan selamat sehingga tiba di tempat yang aman. Sesiapa sahaja yang tinggal di Aelia daripada kalangan penduduk tanah tersebut (Ahl al-Ard) (cth: pelarian perang dari kampung-kampung yang meminta perlindungan di Aelia) sebelum pembunuhan fulan (nama seseorang) boleh tinggal di Aelia jika mereka mahu, tetapi mereka perlu membayar jizyah sebagaimana penduduk Aelia. Mereka yang mahu mengikut orang-orang Rom Timur boleh berbuat demikian, dan mereka yang mahu pulang kepada keluarga mereka juga boleh berbuat demikian. Tiada apa-apa akan diambil daripada mereka sehingga hasil tanaman mereka dituai. Kandungan jaminan keamanan ini adalah di bawah pemeliharaan Allah, tanggungjawab NabiNya, para Khalifah, dan kesetiaan penuh jika (penduduk Aelia) membayar jizyah menurut kewajipan mereka. Individu-individu yang memperakui jaminan ini adalah: Khalid Ibn al-Walid, Amr Ibn al-As, Abd al-Rahman Ibn Awf, dan Mu’awiyah Ibn Abi Sufian. Jaminan Keamanan ini telah ditulis dan disediakan pada tahun 15H. Dokumen yang dikemukakan ini lebih kepada dokumen untuk menyatakan jaminan Umar Al-Khattab kepada penduduk Baitulmaqdis bukan perjanjian. Menurut Abd Fattah El-Awaisi(2005), Umar Al-Khattab sebenarnya tidak menandatangani perjanjian kerana ianya tidak melibatkan dua pihak. Ia hanyalah sebagai jaminan dari Umar sebagai ketua negara untuk penduduk yang dipimpinnya. Ini dikuatkan lagi dengan isi kandungan pada perenggan pertama yang berbunyi, “Ini adalah Jaminan Keamanan yang dikurniakan oleh hamba Allah (Khalifah kedua) Umar Ibn Khattab, komander yang setia, kepada penduduk Aelia. Daripada isi kandungan Jaminan Keamanan ini dapat digariskan tentang beberapa perkara iaitu, penduduk Jerusalem akan diberi keamanan dan keselamatan dari segi nyawa dan harta. Selain itu, tempat ibadat penduduk Jerusalem yang sedia tidak akan dimusnahkan sama ada tempat ibadat yang baik atau yang telah rosak. Ianya tidak akan diambil alih oleh orang Islam. Ini jelas menunjukkan bahawa Islam adalah agama perdamaian dan tidak menggunakan kekerasan. Seterusnya, dalam Jaminan Keamanan ini juga menyebut tentang bayaran jizyah atau cukai kepada pemerintah oleh penduduk Jerusalem untuk menjamin keselamatan mereka. Adalah menjadi tanggungjawab pemerintah untuk menjaga keselamatan penduduk daripada ancaman perompak atau kuasa lain. Namun jika penduduk tidak mahu berada di bawah pemerintahan Islam dan mereka ingin mengikut kuasa Rom yang keluar dari Jerusalam juga tidak dihalang. Mereka bebas untuk membuat pilihan. Sementara pelarian atau mangsa perang yang perlukan perlindungan dari Aelia, boleh terus tinggal di Aelia dan perlu membayar jizyah. Jika tidak mereka juga boleh memilih untuk mengikut Rom. Di dalam Jaminan Keamanan ini terdapat sepotong ayat pendek yang berbunyi “Tiada Yahudi dibenarkan mendiami Aelia bersama mereka” yang menjadi perdebatan di antara pengkaji. Ayat ini dilihat agak kontroversi dan ada pengkaji yang berpendapat bahawa ayat ini bukanlah sebahagian daripada teks asal dan ianya seperti ditambah dilihat tidak mempunyai kesinambungan dengan ayat yang sebelumnya. Menurut El-Awaisi (2008), walaupun terdapat larangan terhadap Yahudi daripada menduduki Aelia dalam Jaminan Keamanan Umar, tetapi dakwaan itu dilihat bertentangan dengan peristiwa-peristiwa sejarah tentang pembukaan Baitulmaqdis oleh umat Islam. Selain itu, tidak terdapat sumber sejarah yang mengesahkan Umar menghalang Yahudi daripada mendiami Baitulmaqdis sepanjang pemerintahannya. Karen Armstrong (1997), pula berpandangan bahawa telah menjadi amalan khulafa’Rashidun apabila mereka membuka sesebuah bandar, mereka akan melaksanakan peraturan sedia ada tanpa memperkenalkan apa-apa perubahan yang besar secara dratik. Pengusiran Yahudi merupakan tindakan orang-orang Roman yang melarang Yahudi dari mendiami Aelia. Umar mengambil keputusan rasional dan bersikap adil dalam membenarkan golongan Yahudi untuk tinggal di Aelia. Sumber Kristian menyatakan bahawa orang-orang Yahudi mendiami Baitulmaqdis sejurus selepas pembukaan pertama Muslim. Sebagai contoh, Paderi Theophanes mendakwa bahawa Yahudi mengisyaratkan kepada Umar Al-Khattab supaya salib-salib perlu dikeluarkan dari gereja-gereja utama di atas Gunung Zaitun (Mount of Olives). Seorang penulis Kristian, Michael Asif pula menyatakan bahawa sekumpulan kecil masyarakat Yahudi tersebut telah sedia ada tinggal di Baitulmaqdis dan ini bertambah dari masa ke semasa. Pada penghujung abad pertama Hijrah, terdapat komuniti besar Yahudi di Baitulmaqdis yang terbahagi kepada dua kumpulan, setiap satu dengan sinagog (rumah ibadat Yahudi) dan sekolah masing-masing. Baitulmaqdis telah menjadi wilayah umat Islam apabila ia pertama kali dibebaskan pada zaman Umar Al-Khattab. Ia memberi kesan yang mendalam ke atas masyarakat di Baitulmaqdis dari segi hubungan antara kaum. Apabila pihak Roman mengeluarkan larangan kepada golongan Yahudi agar tidak memasuki kawasan Aelia Capitolina pada 132M, ia menjadi satu larangan yang bersifat untuk meminggir golongan tersebut. Ini kerana bagi orang Kristian, Baitulmaqdis seharusnya dimiliki bersama oleh agama samawi yang mempunyai nabi-nabi yang telah menghabiskan masa mereka di kota tersebut. Larangan itu menunjukkan bahawa Roman mahu menjadikan Islamicjerusalem ( Aelia ) sebagai sebuah kota yang bersifat eksklusif kepada penganut Kristian sahaja. Oleh yang demikian, tidak ada alasan yang kukuh menunjukkan Umar Al-Khattab melarang Yahudi menduduki Aelia pada ketika itu. Beliau sangat terkenal dengan sikap dan adil dan adalah mustahil untuk beliau bertindak tidak adil dengan melarang orang Yahudi untuk sama-sama tinggal di Aelia. 4.0 Kesan Jaminan Keamanan Umar. Abd Fattah El-Awaisi (2005), menyatakan bahawa Islamicjerusalem (Aelia) sebagai model kepada kepelbagaian kaum. Ini adalah berdasarkan sumber sejarah ketika mana Umar Al-Khattab memberi ruang yang selesa kepada penganut lain untuk terus berada dan tinggal di Islamicjerusalem termasuk diberi kebebasan untuk menganut agama. Ini membolehkan masyarakat berbilang budaya dan agama untuk terus menikmati suasana yang terjamin dalam kehidupan seharian mereka. Penduduk juga kagum dengan kesederhanaan perintah Islam. Ini dibuktikan sendiri oleh Khalifah Umar semasa datang ke Jerusalam hanya dengan mengenakan kemeja kain kapas dan hanya diiringi oleh seorang hamba dengan menaiki unta (Husseiny 2012) . Jika sebelum ini pembesar Rom suka menunjuk-nunjuk dengan kemewahan mereka, dan sesungguhnya ia amat berbeza dengan penampilan Umar selaku pembesar nombor satu dalam perintahan Islam ketika itu. Selepas kehadiran pemerintahan Islam di Jerusalem, penduduk bebas untuk menganuti agama yang mereka sukai. Mereka tidak dipaksa untuk memilih Islam sebagai agama anutan mereka walau pun perintah pada ketika itu adalah beragama Islam (Husseiny 2012). Umat Islam cuba untuk menjaga kesejahteraan dengan tidak mengambil alih rumah-rumah ibadat milik agama lain. Haitham Al-Ratrout (2004), menyatakan bahawa Jaminan Keamanan Umar tidak membenarkan Muslim untuk mengambil alih rumah-rumah ibadat Kritian di Baitulmaqdis. Karen Armstrong (1997), menyatakan dengan jelas bahawa ketika pembukaan Baitulmaqdis oleh Umar, tiada berlaku pertumpahan darah dan sebagainya. Ini berdasarkan kenyataannya “Once the Christians had surrendered, there was no killing, no destruction of property, no burning of rival religious symbols, no expulsions and expropriations, and no attempt to force the inhabitants to embrace Islam”. Ini menunjukkan corak pemerintahan Umar yang bertoleransi terhadap masyarakat bukan Islam. Ianya adalah sesuatu yang diimpikan oleh masyarakat dunia hari ini dalam memenuhi keamanan dalam masyarakat berlainan bangsa. Jaminan Keamanan Umar menyediakan peraturan asas untuk membantu pembangunan dan pembentukan semula masyarakat baru di Baitulmaqdis yang berbilang kaum. Ia sekaligus menolak fahaman bahawa hanya individu atau bangsa yang berkuasa sahaja yang boleh menguasai dan mengatasi bangsa yang lain. Umar telah memberikan jaminan keamanan kepada setiap orang yang tinggal di Baitulmaqdis tanpa pengecualian dan diskriminasi. Umar Al-Khattab tidak menunggu lama untuk memberikan jaminan kepada penduduk Baitulmaqdis apabila beliau mengemukakan satu jaminan ke atas hak-hak penduduk di situ. Golongan Kristian dan Yahudi dijamin dari sudut hak mereka untuk terus menetap di kota tersebut di samping mereka diberi kebebasan untuk melakukan ibadah-ibadah rutin mereka serta kegiatan sosial yang lain.

Friday, December 11, 2009

CUTI-CUTI MALAYSIA...

SALAM..
Cuti sekolah sudah bermula. Ada yang menggunakan masa ini dengan melancong bersama rakan dan keluarga. Alhamdulillah, hari ini saya 'join' kuliah ustaz Azhar secara live di Surau Tn. Hj. Abd Rahman Limbong, Kemaman. Banyak ilmu yang dapat diperolehi. Ramai juga golongan remaja yang menyertainya. Sejuk mata memandang...kalau sebelum ni duk tgk ramai golongan remaja berpeleseran di kompleks membeli belah. Sesekali tgk diorang kat majlis ilmu macam ni bagus sangat. Semoga ianya berterusan...